fb fb fb fb fb

Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC): India juara, benam Australia

Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU, 29 Oktober - Skuad bawah 20 tahun India muncul juara buat kali ketiga, Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor edisi ke-10, selepas menewaskan Australia menerusi penentuan pukulan penalti, di Stadium Hoki Taman Daya, di sini sebentar tadi.

Ia selepas kedua-dua pasukan terikat 1 sama pada waktu sebenar perlawanan.


(Pemain India Rajinder Singh cuba melepasi pertahanan Australia Foster Brodee / Foto Bernama)

India bermula garang memburu gol pembukaan, dan berjaya didepan pada minit ke-14 melalui jaringan padang oleh Sudeep Chirmako.

Australia kemudiannya turut melancarkan serangan ke kubu India, dan Jack Holland kembali mengikat kedudukan 1 sama pada minit ke-29.

Separuh masa kedua lebih banyak memihak kepada India yang lebih banyak menyerang namun gagal memperoleh gol tambahan.

Perlawanan kemudian terheret kepada penentuan pukulan penalti, yang memihak India selepas penjaga gol, Shashikumar Mohith menafikan percubaan terakhir daripada Joshua Brooks untuk menang dengan keputusan 5-4.

India yang berstatus naib juara pada edisi kesembilan menebus kehampaan 2019 sebelum saingan itu dihentikan selama dua tahun akibat pandemik Covid-19 sekali gus mengulangi kejayaan 2013 dan 2015 sejak saingan SOJC diperkenalkan pada 2011.

Selain India, Great Britain juga pernah menjulang piala sama sebanyak tiga kali.

Media Baharu