PARIS, 8 September - Impian jaguh lompat jauh lelaki para negara, Datuk Abdul Latif Romly untuk memburu pingat emas ketiga berturut-turut di Sukan Paralimpik tidak kesampaian apabila terpaksa akur dengan kedudukan tempat kedua dalam kategori T20 (kecacatan intelektual) pada Sukan Paralimpik Paris 2024, sebentar tadi.
Anak kelahiran Perlis itu menamatkan saingan dengan catatan 7.45 meter (m) di hadapan pencabarnya Matvei Iakushev dari Rusia dengan lompatan sejauh 7.51 meter.
Latif terpaksa menyerahkan gelaran juara bergandanya kepada atlit dari Rusia apabila tiga lompatannya terbatal pada pusingan keempat, kelima dan keenam.
Atlet berusia 27 tahun itu tidak mampu menampilkan prestasi cemerlang akibat kecederaan pada otot pada sebelah perut kiri beliau.
Latif mula mencipta nama di peringkat antarabangsa apabila memenangi pingat emas dalam acara lompat jauh di Sukan Paralimpik Rio 2016 dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Latif adalah pemegang rekod dunia dengan lompatan sejauh 7.64m ketika melakukannya sewaktu Sukan Para Asia Jakarta pada 2018.