(Pandelela Rinong)
SEPANG, 13 Mei - Kejohanan Dunia FINA 2022 di Budapest pada Jun ini akan menjadi fokus seterusnya buat ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong selepas aksi cemerlang pada Sukan SEA Hanoi.
Jelas Pandelela, pada kejohanan berprestij itu sasaran beliau adalah untuk memperbaharui rekod peribadi terbaiknya.
Atlet kelahiran Sarawak itu turut memaklumkan, beliau dan rakan sepasukan akan berehat seketika selepas pulang dari Hanoi sebelum mula menyertai kem latihan pusat di Bukit Jalil.
"Sasaran saya untuk memecahkan rekod peribadi sendiri dan harap dapat melakukan yang terbaik juga dalam acara berpasangan bersama Nur Dhabita Sabri," katanya kepada RTM.
(Pandelela dan Nur Dhabitah bersama pingat emas yang dimenangi mereka pada Sukan SEA Hanoi/BERNAMA)
Beliau yang pernah bergandingan dengan Nur Dhabitah pada 2017 menyifatkan amat teruja digandingkan semula pada Sukan Hanoi ini.
Pada aksi Sukan SEA Hanoi, Pandelela dan Nur Dhabitah memenangi emas dalam acara 10 meter platform seirama wanita dengan mengumpul 292.14 mata mengenepikan gandingan Singapura, Ong Sze En-Ong Rei En yang berada di tangga kedua.