fb fb fb fb fb

Pan Gon tekad bawa Harimau Malaya ke Piala Dunia



KUALA LUMPUR, 17 Februari- Pengendali baharu Harimau Malaya, Kim Pan Gon tidak teragak-agak menerima tawaran menyertai skuad bola sepak kebangsaan.

Jelasnya, skuad Harimau Malaya mempunyai potensi amat besar dan menyifatkan tawaran untuk mengemudi pasukan itu sebagai tawaran yang menarik.

Pan Gon juga yakin beliau mampu membawa Malaysia ke Piala Dunia memandangkan rantau Asia akan diberikan sehingga sembilan slot pada masa hadapan.

“Kita perlu membina asas yang kukuh terlebih dahulu sebelum pergi ke misi yang lebih tinggi iaitu untuk layak ke Piala dunia kerana saya percaya pasukan ini mempunyai potensi yang besar untuk pergi jauh.

“Saya juga ingin membawa skuad Malaysia hebat di mata dunia, bukan sekadar di Asia Tenggara. Untuk itu, kita perlu lakukan yang lebih baik untuk pasukan kebangsaan," jelasnya ketika sidang media pertama selaku pengendali baharu Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Selain itu, Pan Gon mempunyai falsafah dan cara tersendiri yang dilihat mampu membantu skuad Harimau Malaya memperbaiki kekurangan dari segi taktikal dan mental.

Beliau turut memperkenalkan barisan kejurulatihan yang akan membantunya.

Paul Marti Vicente dilantik selaku Penolong Jurulatih, Cho Junho jurulatih penjaga gol, Dr.Gokhan Kandemir jurulatih kecergasan dan Lim Jaehun jurulatih analisis prestasi.

Bagi melengkapkan barisan tersebut, seorang lagi jurulatih tempatan akan dipilih tidak lama lagi selepas beliau membuat penilaian akhir.

Beliau yang merupakan bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Hong Kong turut memberitahu budaya dan fizikal pemain yang tidak jauh beza dari Korea Selatan merupakan antara faktor utama beliau tertarik dengan tawaran tersebut.

Jurulatih berusia 52 tahun itu diberikan kontrak dua tahun selepas peletakan jawatan Tan Cheng Hoe susulan kegagalan skuad negara pada Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura, Disember lalu.

Media Baharu