fb fb fb fb fb

Palmer terlepas peluang menentang Atalanta

Foto REUTERS

BERGAMO, 9 Disember - Penyerang Chelsea, Cole Palmer bakal terlepas perlawanan Liga Juara Eropah menentang Atalanta pada Selasa.

Pengurus The Blues, Enzo Maresca mengesahkan Palmer telah diketepikan dalam aksi di Itali bagi memberi ruang kepadanya untuk pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

Palmer yang kembali ke padang selepas dua bulan direhatkan pada mulanya bergelut dengan masalah pangkal paha dan kemudian mengalami patah jari kaki selepas tersepak pintu rumah.

Pemain berusia 23 tahun itu membuat penampilan sulung bersama Chelsea sejak September ketika menentang Bournemouth pada Sabtu.

Maresca tidak mahu mengambil risiko menurunkannya dalam perlawanan menentang Atalanta.

"Palmer sedang menjalani sebahagian daripada proses pemulihan pada ketika ini. Dia tidak boleh bermain dua perlawanan dalam tempoh tiga hari dan ini adalah cara untuk melindunginya," kata Maresca.

Liam Delap juga direhatkan selepas mengalami kecederaan bahu di Bournemouth, namun Maresca memberikan bayangan positif mengenai penyerang yang sering cedera itu.

"Mujur Liam tidak mengalami sebarang patah, jadi itu berita baik. Sejujurnya, kami belum pasti berapa lama dia akan diketepikan," kata pengurus dari Itali itu.

Delap telah pun terlepas untuk beraksi dalam dua bulan pada musim ini ekoran masalah hamstring.

Menurut Maresca, dua pemain pertahanan Chelsea, Reece James dan Wesley Fofana juga memerlukan masa untuk beraksi selepas berehat panjang ekoran kecederaan, namun kedua-duanya kini bersedia untuk perlawanan pada Selasa.

Chelsea akan memulakan aksi di tangga ketujuh dalam jadual Liga Juara Eropah selepas menewaskan Barcelona, 3-0 di Stamford Bridge dalam perlawanan peringkat kumpulan terakhir mereka. -AFP

MASNIZA AWANG KECHIK