UNITED KINGDOM, 24 Disember – Pemain tengah Chelsea, Cole Palmer kini bersedia untuk beraksi penuh selama 90 minit buat pertama kali selepas sekian lama dibelenggu kecederaan, menurut pengurus pasukan, Enzo Maresca menjelang pertemuan Liga Perdana Inggeris menentang Aston Villa, Sabtu ini.
Maresca berkata Palmer telah melalui proses pemulihan secara berperingkat selepas mengalami kecederaan pangkal paha dan jari kaki patah, dengan minit permainan beliau ditingkatkan secara berhati-hati sejak kembali ke padang.
Beliau sebelum ini beraksi selama satu jam ketika menentang Everton dan melepasi 70 minit permainan dalam perlawanan menentang Newcastle, sekali gus menunjukkan tahap kecergasannya kini berada pada tahap optimum.
Chelsea turut menerima suntikan tenaga apabila penyerang, Liam Delap dan pemain sayap, Estevao kembali cergas selepas pulih daripada kecederaan, sekali gus memberi lebih banyak pilihan kepada pasukan.
Bagaimanapun, Maresca tidak akan berada di bangku simpanan dalam perlawanan itu selepas dikenakan penggantungan akibat mengumpul kad kuning ketiga musim ini dan tugas pengendalian pasukan akan dibantu barisan kejurulatihan Chelsea.
Dalam pada itu, Maresca memuji kepimpinan kapten pasukan, Reece James yang semakin menyerlah selepas kembali cergas, termasuk peranannya ketika perlawanan menentang Newcastle United dengan keputusan seri 2-2.
Chelsea bakal berdepan cabaran getir menentang Aston Villa yang kini berada di kelompok teratas liga dan tampil dengan keyakinan tinggi selepas mencatat rentetan kemenangan dalam semua pertandingan. -REUTERS