BUKIT AMAN, 24 Disember - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang lelaki dan seorang perempuan warga tempatan berusia masing-masing 22 dan 24 tahun bagi membantu siasatan berhubung penularan sebuah rakaman video di media sosial yang menyentuh sensitiviti agama Islam.
PDRM mengesahkan menerima rakaman video berkenaan yang memaparkan seorang individu memakai tudung sambil meminum minuman keras.
Hasil siasatan awal polis mendapati individu yang memakai tudung dan meminum minuman keras dalam rakaman tersebut merupakan seorang lelaki.
Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman.
Kes disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan, iaitu melakukan perbuatan atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, kebencian serta memudaratkan perpaduan, selain Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali.