KUALA LUMPUR, 24 Disember - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah mengeluarkan Notis Penamatan Pengambilan Kerja Kontraktor terhadap kontraktor projek pembinaan Kompleks Sukan Mini di Jasin, Melaka.
Menurut KBS, projek yang bertujuan menyediakan kemudahan sukan kepada masyarakat setempat itu merangkumi pembinaan pejabat, auditorium, dewan serbaguna, gelanggang sukan, asrama serta kafetaria.
"Projek berkenaan bermula pada 12 April 2021 dan sepatutnya siap pada 29 April 2024, namun gagal dilaksanakan apabila kontraktor tidak menjalankan kerja dengan bersungguh-sungguh.
"Susulan kegagalan mematuhi syarat kontrak, notis penamatan telah dikeluarkan oleh KBS pada 10 September 2024 bagi melindungi kepentingan awam.
"Projek itu dirancang untuk ditender semula selewat-lewatnya pada awal Januari 2026 bagi memastikan kemudahan sukan berkenaan dapat dimanfaatkan oleh komuniti setempat," menurut kenyataan itu.