fb fb fb fb fb

Pahang beri insentif RM10,000 kepada Shazrin

KUALA LUMPUR, 4 Oktober- Pahang bersetuju untuk memberikan insentif sebanyak RM10,000 kepada atlet pelayaran, Nur Shazrin Mohamad Latif yang meraih pingat emas pertama negara pada Sukan Asia Hangzhou 2022.

Menerusi hantaran di Facebook Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, keputusan itu dibuat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK).

Wan Rosdy berharap kejayaan Nur Shazrin yang merupakan anak jati Pekan menjadi inspirasi kepada atlet Pahang lain.

"Saya mewakili rakyat negeri Pahang amat berbangga dengan kejayaan yang telah diraih sekali gus mengharumkan nama Malaysia dan Negeri Pahang di peringkat antarabangsa.

"Dengan pemberian insentif juga diharap dapat memberi dorongan untuk Shazrin terus melakar kecemerlangan, khususnya di temasya Olimpik Paris tahun depan," katanya dalam hantaran tersebut.

Nur Shazrin, 25, anak kelahiran Kampung Mambang, Pekan menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia pada temasya Sukan Asia, selepas muncul juara acara ILCA 6 wanita, 27 September lalu.

Kejayaan itu juga melayakkan Nur Shazrin untuk ke Sukan Olimpik 2024 secara merit.

(Kenyataan Wan Rosdy Wan Ismail di facebook)

Media Baharu