HANGZHOU, 5 Oktober- Hasrat skuad terjun negara untuk menambah koleksi pingat di Sukan Asia Hangzhou 2022 tidak kesampaian pada hari terakhir saingan di Arena Sukan Akuatik Pusat Sukan Olimpik Hangzhou.
Bagaimanapun atlet terjun muda, Bertrand Rhodict Lises terus melakar pencapaian memberangsangkan pada penampilan pertamanya di Sukan Asia.
Bertrand menamatkan acara akhir 10 meter platform lelaki pada kedudukan ke-4, selepas mengumpul mata keseluruhan 434.85 mata.
Ahad lalu penerjun berusia 18 tahun itu meraih pingat gangsa ketika bergandingan dengan Enrique Maccartney Harold dalam acara 10 meter platform seirama lelaki.
Pada masa sama, seorang lagi penerjun negara, Jellson Jabillin yang membuat penampilan keduanya di temasya itu, menduduki tempat ke-5 dengan catatan 403 mata.
Manakala pingat emas menjadi milik tuan rumah, menerusi Yang Hao; diikuti rakan senegara, Bai Yuming yang merangkul perak; manakala gangsa diraih Rikuto Tamai dari Jepun.
Menurut Bertrand, dia gembira menghuni kedudukan empat teratas namun, perlu memperbaiki persembahannya untuk menduduki podium.
(Bertrand Rhodict Lises)