fb fb fb fb fb

KDA FC tersingkir di laman sendiri, tewas kepada Kuching City FC

ALOR SETAR, 4 Oktober- Gergasi dari utara tanah air Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tersingkir di peringkat suku akhir selepas tewas 0-3 kepada Kuching City FC dalam aksi suku akhir kedua Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Challenge Cup 2023 di Stadium Darul Aman, malam tadi.

Kemenangan tersebut membolehkan Kuching City FC mara ke peringkat separuh akhir menerusi agregat 4-0.

KDA FC yang berazam untuk memadamkan defisit 1 gol dimiliki Kuching City FC turun tanpa kelibat pemain lincah, Manuel Hidalgo yang masih belum pulih daripada kecederaan.

Ketiadaan Hidalgo ternyata memberi kesan terhadap rentak serangan Sang Kenari.

Pada minit ke-9, tuan rumah dikejutkan menerusi jaringan Abu Kamara yang menanduk masuk gol pertama pasukan pelawat.

Tersentak dengan jaringan itu KDA FC bangkit mengatur gerak, namun pasukan itu dikejutkan sekali lagi apabila pemain pertahanannya, Akmal Zahir dibuang padang selepas menerima dua kad kuning sekali gus kad merah.

Beraksi dengan 10 pemain dalam tempoh berbaki 60 minit tidak menjejaskan rentak pasukan KDA FC yang berjaya mengawal permainan.

Ketika KDA FC mengasak kubu pelawat, Kuching City FC menggandakan jaringan pada minit ke-72 menerusi Pedro Henrique yang bijak memperdaya pertahanan tuan rumah sebelum melepaskan rembatan terus ke dalam pintu gol menewaskan Kalamullah Al Hafiz.

Kuching City FC bawah kendalian bekas ketua jurulatih Kedah iaitu Aidil Sharin Sahak memadamkan sisa perjuangan pasukan Kenari dengan jaringan ketiga juga menerusi Pedro pada minit ke-89 sekali gus mengekalkan kedudukannya sehingga ke akhir perlawanan.

(Perlawanan KDA FC, Kuching City FC)

Media Baharu