KUALA LUMPUR, 27 Disember - Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin memberi jaminan pasukan negara akan berusaha bersungguh-sungguh dalam memastikan misi emas sulung pada temasya sukan berprestij itu mencapai sasaran pada tahun depan.
Beliau berkata ketika ini, jaguh berbasikal trek Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan beregu lelaki badminton, Aaron Chia-Soh Wooi Yik merupakan sandaran terbaik untuk negara merealisasikan misi berkenaan.
"Dari segi rekod, Azizulhasni paling hampir, kedua mungkin Aaron-Wooi Yik tapi mereka belum stabil dan harap di Paris mereka capai kemuncak.
"Sudah tentu Road To Goal (RTG) yang mana diketuai Menteri Sukan Hannah Yeoh dan Tan Sri Norza dan saya akan bekerja keras mencuba sehabis mungkin untuk kita mendapatkan emas," katanya.
Setakat ini, lima atlet negara sudah mengesahkan tiket ke Paris iaitu Ariana Nur Dania Zairi, Nur Aisyah Mohamad Zubir , Bertrand Rhodict Lises, Nur Shazrin Mohamad Latif dan atlet menembak Johnathan Wong.
Dijangka lebih ramai akan meraih tiket ke Paris antaranya Mohd Azizulhasni dan Aaron-Wooi Yik memandangkan fasa kelayakan ke temasya sukan itu masih terbuka hingga Jun tahun depan.