fb fb fb fb fb

Olimpian veteran India, Randhir Singh dilantik Presiden OCA baharu

Randhir Singh dilantik sebagai Presiden OCA menerusi pemilihan di New Delhi pada Ahad

NEW DELHI, 8 September- Pentadbir sukan veteran India, Randhir Singh menang tanpa bertanding sebagai Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA) pada pemilihan pada Ahad.

Randhir Singh yang berusia 77 tahun, olimpian lima kali dalam sukan menembak itu akan mengambil alih jawatan presiden bermula 2024-2028.

Randhir Singh, orang India pertama mengambil jawatan sukan tertinggi di Asia itu, dipilih selepas meraih 44 daripada 45 undi, dengan satu berkecuali.

Jawatan presiden, lima naib presiden bagi lima zon dan lima ahli lembaga eksekutif semuanya tidak dipertandingkan.

"Kami amat berbesar hati atas kasih sayang yang anda tunjukkan kepada kami," kata Randhir Singh, bagi pihak lembaga pengarah baharu.

"Terima kasih dari lubuk hati saya. Dengan sokongan anda, anda telah menunjukkan Asia adalah satu, Asia adalah satu keluarga."

Randhir Singh memangku jawatan Presiden OCA sejak 2021, menggantikan Sheikh Ahmad Al-Fahad Al-Sabah dari Kuwait.

Sheikh Ahmad, ahli keluarga pemerintah Kuwait, dikenakan larangan 15 tahun daripada pentadbiran sukan kerana pelanggaran etika.

Randhir Singh adalah ahli Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa antara 2001 dan 2014, selepas itu beliau meneruskan khidmat sebagai ahli kehormat badan sukan global itu.

Majlis Olimpik Asia ialah badan induk bagi sukan di Asia.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE