fb fb fb fb fb

Obor Olimpik Musim Sejuk 2026 dinyalakan di Istana Presiden Itali

Upacara penyerahan Obor Olimpik Musim Sejuk Milano–Cortina 2026 berlangsung di Stadium Panathenaic, Athens, Greece pada 4 Disember 2025. Dalam majlis bersejarah itu, pelakon Mary Mina menyalakan obor Olimpik sebelum diserahkan kepada delegasi tuan rumah/foto REUTERS

ROM, 5 Disember – Obor Olimpik bagi Sukan Olimpik Musim Sejuk Milano-Cortina 2026 dinyalakan di dataran Istana Presiden Itali, Quirinale, pada pagi Jumaat (waktu tempatan), sebelum memulakan jelajahnya merentasi seluruh negara.

Obor berkenaan, yang dinyalakan bulan lalu di Olympia,Greece, telah diserahkan kepada penganjur Itali dalam satu majlis di Athens awal minggu ini. Sebuah pelita khas yang membawa api tersebut dibawa ke Istana Quirinale pada Khamis malam dan dipamerkan di Sala delle Vetrate, dewan istiadat istana berkenaan.

Upacara penyalaan kawah api di Piazza del Quirinale akan dihadiri Presiden Itali, Sergio Mattarella dan Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Kirsty Coventry.

Terletak di salah satu daripada tujuh bukit di Rom, Istana Quirinale yang dibina pada abad ke-16 pernah menjadi kediaman paus dan kerabat diraja sebelum menjadi kediaman rasmi ketua negara Itali sejak 1946.

Sukan Olimpik Musim Sejuk 2026 akan berlangsung dari 6 hingga 22 Februari, dengan Milan dan pusat peranginan Dolomites, Cortina d’Ampezzo, bertindak sebagai tuan rumah bersama.

Itali, sebuah kuasa besar sukan musim sejuk, kali terakhir menjadi tuan rumah temasya tersebut pada 2006 di Turin. Obor itu akan memulakan larian domestik sejauh 12,000 kilometer dari Stadio dei Marmi pada 6 Disember.

Larian tersebut akan merentasi semua 20 wilayah dan 110 wilayah pentadbiran Itali, melalui 60 bandar dan 300 pekan, dengan penyertaan 10,001 pembawa obor.

Perjalanan obor turut merangkumi mercu tanda ikonik seperti Colosseum di Rome dan Grand Canal di Venice, serta singgah di bandar-bandar selatan seperti Palermo dan Naples.

Obor Olimpik dijangka tiba di Cortina D’Ampezzo pada 26 Januari, sebelum menamatkan perjalanan pada upacara pembukaan temasya di Stadium San Siro, Milan pada 6 Februari. -REUTERS

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI