LEEDS, 25 Oktober - Pengurus West Ham, Nuno Espirito Santo menyifatkan prestasi anak buahnya sebagai “amat mengecewakan” selepas pasukannya terus gagal mencatat kemenangan dalam empat perlawanan apabila tewas 1-2 kepada Leeds United di Elland Road, awal pagi tadi.
Dalam perlawanan tersebut, Leeds jelas mendominasi dari awal. Aaronson membuka jaringan pada minit ketiga selepas sepakan Noah Okafor gagal dikawal kemas oleh pertahanan muda Oliver Scarles, manakala Rodon menambah derita pelawat dengan tandukan kencang hasil sepakan sudut Sean Longstaff pada minit ke-15.
West Ham sekali lagi dihantui kelemahan menangani situasi bola mati dan telah melepaskan sembilan gol iaitu antara paling banyak dibolosi dalam liga musim ini .
Meskipun Fernandes berjaya merapatkan jurang pada minit ke-90 melalui tandukan daripada hantaran Bowen, Leeds kekal tenang untuk mempertahankan kemenangan mereka hingga wisel penamat.
West Ham kini berada di tangga kedua tercorot liga, tiga mata daripada zon selamat selepas tewas tujuh daripada sembilan aksi pertama musim ini.
Nuno yang pasukannya sekadar mengutip satu mata iaitu hasil seri menentang Everton sebelum ini menegaskan para pemainnya melakukan kesalahan sama seperti perlawanan-perlawanan sebelum ini.
“Kami tidak menangani masalah dengan baik. Pemain mahu mencuba, tetapi mereka hilang fokus.
"Kesilapan seperti ini tidak boleh diterima", katanya.
“Separuh masa kedua lebih baik, tetapi ia tidak cukup selepas bermula begitu buruk. Masih ada masa, dan menjadi tanggungjawab kami untuk mendapatkan yang terbaik daripada pemain", ujarnya.
Nuno yang menggantikan Graham Potter bulan lalu, dilantik dengan misi memastikan West Ham tidak terjerumus ke Liga Kejuaraan. Kali terakhir dirasai pasukan berkenaan pada musim 2011/12.
Namun, tekanan semakin meningkat ke atas pengurus dari Portugal itu, yang sebelum ini dipecat oleh Nottingham Forest pada September susulan perselisihan dengan pemilik kelab. - AFP