fb fb fb fb fb

NSL 2025: Putrajaya Dynamites kekal unggul, benam Pahang Tulips 66-38

FOTO Netball Super League

KUALA LUMPUR, 15 Februari- Putrajaya Dynamites terus mengukuhkan kedudukan di puncak Netball Super League (NSL) 2025 selepas mencatat kemenangan bergaya 66-38 ke atas Pahang Tulips petang tadi.

Tulips bermula garang dengan memberikan tentangan sengit pada dua suku pertama. Kedudukan seimbang 15-15 pada suku pertama sebelum Dynamites mendahului tipis 32-27 menjelang rehat.

Namun, selepas turun semula ke gelanggang, pasukan bimbingan Puah Pei San mula memperkemaskan corak permainan dengan menjarakkan jurang mata kepada 50-33 pada suku ketiga sebelum menamatkan perlawanan dengan kemenangan selesa 66-38.

Jurulatih Putrajaya Dynamites, Puah Pei San, menyifatkan perlawanan itu sebagai medan pemanas badan sebelum menghadapi Perak Phoenix esok.

“Perlawanan ini merupakan satu perlawanan pemanas badan bagi kami untuk menghadapi perlawanan esok menentang Perak Phoenix. Kami ingin berada di kedudukan terbaik untuk penghabisan liga ini dan untuk melengkapkan persiapan kami bagi perlawanan esok dengan Perak Phoenix.

"Sudah tentu, kami menantikan perlawanan akhir dan kami bersedia untuk menghadapi cabaran tersebut," katanya.

Sementara itu, pembantu jurulatih Pahang Tulips, Norma Yusof, mengakui pasukannya kehilangan rentak selepas separuh masa pertama.

“Prestasi permainan tadi memang baik, terutamanya pada suku pertama dan kedua di mana kami memberikan tentangan yang sangat hebat. Namun, pada suku ketiga dan keempat, kami mula kehilangan rentak, tetapi masih lagi memberikan tentangan yang baik dan hebat sehingga wisel penamat.

"Insya-Allah, pada perlawanan seterusnya, kami akan berusaha untuk memperbaiki prestasi, berjuang habis-habisan, dan tidak akan berputus asa," jelas Norma.

Menerusi kemenangan itu, Putrajaya Dynamites kekal di puncak liga tanpa kalah, manakala Pahang Tulips berada di kedudukan ketujuh.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE