fb fb fb fb fb

Norza ubah fikiran, terajui BAM hingga 2025

Tan Sri Mohamad Norza Zakaria kekal terajui BAM sehingga 2025/ FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 16 Disember - Presiden Persatuan Badminton Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengubah fikiran untuk melepaskan jawatan dan akan terus memimpin Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hingga tamat penggal 2025.

Perkara itu diumumkan pada Mesyuarat Ahli Lembaga BAM yang berlangsung di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Menurut Tan Sri Norza, keputusan itu dibuat selepas mendapat saranan daripada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh selain mendapat sokongan penuh kesemua Ahli Majlis.

"Pertama sekali, permintaan ini datang daripada Menteri yang merupakan pengerusi kepada Program RTG yang kebanyakannya datang daripada sukan badminton.

"Secara tidak langsung, ia memerlukan satu kordinasi yang fokus terhadap para pemain berkenaan. Kita mengharapkan proses persediaan itu tidak digugat daripada perkara-perkara tidak sepatutnya", katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis BAM di sini hari ini.

Dalam pada itu, BAM melihat kepentingan Norza untuk terus memimpin badan induk itu, terutamanya dari sudut menguruskan atlet negara yang akan beraksi di Olimpik Paris 2024 yang hanya berbaki lapan bulan sahaja lagi.

Norza pada Ogos lalu mengumumkan akan melepaskan jawatan tertinggi BAM pada hujung tahun ini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD