(Juara perseorangan wanita, Akane Yamaguchi / AFP)
OSAKA, 5 September- Pemain tuan rumah, Kenta Nishimoto dan Akane Yamaguchi masing-masing memenangi gelaran perseorangan lelaki serta wanita pada aksi badminton Terbuka Jepun pada Ahad.
Nishimoto yang juga pemain nombor ke-21 dunia, mengejutkan pilihan keempat dari Taiwan, Chou Tien-chen 21-19, 21-23, 21-17 sekali gus merangkul kejuaraan antarabangsa pertamanya, selepas tewas dalam enam perlawanan akhir sebelum ini.
Kemenangan Nishimoto itu ibarat hadiah buat penyokong tuan rumah yang bersorak selepas pilihan kedua dari Jepun, Kento Momota terdahulu tewas seawal pusingan pertama.
Yamaguchi turut memberikan Jepun satu lagi kejuaraan untuk diraikan apabila menewaskan pemain Korea Selatan An Se-young 21-9, 21-15 dalam aksi final.
Masih segar daripada kejuaraan dunia minggu lalu di Tokyo Yamaguchi tampak sukar untuk dihentikan apabila masih bertenaga untuk memenangi kejohanan ketiganya tahun ini.
Dalam acara beregu wanita, Jeong Na-eun dan Kim Hye-jeong dari Korea Selatan menewaskan rakan senegara mereka Baek Ha-na dan Lee Yu-lim 23-21, 28-26 untuk muncul juara.
Pasangan China, Liang Weikeng dan Wang Chan pula meraih kemenangan dalam aksi beregu lelaki, menewaskan pasangan Denmark Kim Astrup dan Anders Skaarup Rasmussen 21-18, 13-21, 21-17.
Dalam acara beregu campuran, Dechapol Puavaranukroh dan Sapsiree Taerattanachai dari Thailand menewaskan pasangan Jepun Yuta Watanabe dan Arisa Higashino 16-21, 23-21, 21-18. - AFP
(Pemenang pingat emas Kenta Nishimoto dari Jepun (kiri) bergambar di podium selepas
kemenangannya menentang Chou Tien-chen dari Taiwan (kanan)/AFP)