fb fb fb fb fb

Neymar didenda $3.3 juta bina tasik di rumah agam

(Neymar/File AFP)

RIO DE JANEIRO, 4 Julai- Bintang bola sepak, Neymar didenda 16 juta reais (US$3.3 juta) kerana membina sebuah tasik di rumah agamnya di pinggir Rio de Janeiro tanpa lesen alam sekitar, kata pihak berkuasa.

Majlis Perbandaran Mangaratiba mengeluarkan empat denda kerana "pelanggaran alam sekitar dalam pembinaan tasik buatan di rumah pemain itu," kata sekretariat majlis dalam satu kenyataan.

"Antara berpuluh pelanggaran yang dikesan ialah menjalankan kerja yang tertakluk pada kawalan alam sekitar tanpa kebenaran, pengepungan dan pengalihan air sungai tanpa kebenaran, dan penyingkiran tanah dan penindasan tumbuh-tumbuhan tanpa kebenaran," menurut kenyataan itu.

Neymar mempunyai 20 hari untuk merayu penalti, yang jumlahnya pada mulanya ditetapkan pada lima juta reais, bersamaan hampir satu juta dolar.

Selepas menerima aduan berdasarkan hantaran media sosial, pihak berkuasa pada 22 Jun mengunjungi hartanah mewah itu dan mendapati pekerja sedang membina tasik dan pantai buatan.

Walaupun kawasan itu disita dan semua aktiviti diarahkan berhenti, media Brazil melaporkan bahawa Neymar mengadakan pesta di sana dan mandi di tasik.

Neymar, 31, sedang pulih daripada pembedahan buku lali kanannya, yang dijalaninya di Doha pada Mac.

Penyerang itu tidak beraksi sejak Februari dan timbul keraguan tentang statusnya di kelab gergasi Perancis, Paris Saint-Germain. -AFP

(Neymar didenda $3.3 juta bina tasik di rumah agam/File AFP)

Media Baharu