fb fb fb fb fb

Neuer kekal di Bayern Munich sehingga 2026

Penjaga gol dan ketua pasukan Bayern Munich, Manuel Neuer / Foto REUTERS

MUNICH, 4 Februari-Penjaga gol dan ketua pasukan Bayern Munich, Manuel Neuer, telah menandatangani kontrak lanjutan yang akan mengekalkannya di Allianz Arena sehingga Jun tahun depan (2026), menurut pengumuman kelab Bundesliga itu pada Isnin.

Neuer, yang bakal berusia 39 tahun bulan depan, menyertai Bayern dari kelab Jerman, Schalke, pada tahun 2011 dan telah membuat 547 penampilan serta mencatat 258 rekod tanpa bolos untuk pasukan Bavaria tersebut.

Neuer menamatkan kariernya bersama skuad kebangsaan Jerman dengan 124 penampilan dan satu gelaran Piala Dunia pada 2014.

Kontrak terdahulunya bersama Bayern dijadualkan tamat pada akhir musim ini.

Musim depan akan menjadi musim ke-15 Neuer bersama Bayern.

Sepanjang kariernya di kelab itu, dia telah memenangi 11 gelaran Bundesliga, lima Piala Jerman, dan enam DFL-Supercup.

"Neuer adalah penjaga gol terbaik dalam generasinya dan ikon Bayern," kata Max Eberl, ahli lembaga sukan Bayern, dalam satu kenyataan.

"Apabila bercakap tentang penjaga gol dalam era ini, nama Manuel Neuer pasti disebut, dan itu berlaku di seluruh dunia.

"Dia adalah contoh teladan, baik di dalam mahupun di luar padang. Kami sangat gembira hubungan unik dan penuh kejayaan ini akan terus berlanjutan", katanya.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD