fb fb fb fb fb

Naik taraf Akademi Sepak Takraw dijangka siap Januari ini

Lakaran Akademi Sepak Takraw Malaysia /Foto PSM

KUALA LUMPUR, 29 Oktober - Kerja naik taraf Kompleks Sukan Jalan Raja Muda, Kampung Baru untuk dijadikan Akademi Sepak Takraw Malaysia dijangka siap dalam tempoh tiga bulan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata projek itu dilaksanakan oleh Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) selepas menerima pajakan tanah selama sembilan tahun daripada Institut Sukan Negara (ISN).

“Projek ini tidak melibatkan pembinaan baharu bagi mengelak pembaziran, sebaliknya menumpukan kepada penaiktarafan kemudahan sedia ada agar dana digunakan sepenuhnya,” katanya selepas melancarkan gimik permulaan kerja naik taraf kompleks berkenaan, hari ini.

Projek bernilai RM6 juta itu meliputi RM5.5 juta bagi menaik taraf infrastruktur dan RM500,000 untuk melengkapkan kemudahan seperti gimnasium, bilik persalinan, penginapan atlet dan bilik pembelajaran.

Menurut Hannah, akademi bersepadu itu bakal menjadi pusat latihan sepak takraw pertama di rantau Asia yang menempatkan semua kemudahan atlet di bawah satu bumbung, sekali gus menyediakan persekitaran latihan lebih kondusif untuk pasukan kebangsaan.

Beliau turut memuji usaha PSM yang giat mempromosikan sukan warisan itu ke sekolah pelbagai aliran dan komuniti Orang Asli, selaras dengan hasrat Kerajaan Madani menjadikan sukan sebagai platform perpaduan nasional.

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN