KUALA LUMPUR, 29 Oktober - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yakin penganjuran MotoGP Grand Prix (GP) Malaysia akan terus memberi kesan positif kepada ekonomi negara, khususnya dalam sektor pelancongan dan peluang pekerjaan.
Menterinya, Hannah Yeoh, berkata kerajaan secara prinsipnya bersetuju untuk melanjutkan kontrak penganjuran MotoGP yang akan tamat tahun depan, namun keputusan muktamad bergantung kepada pertimbangan Kementerian Kewangan (MOF).
Beliau menjelaskan laporan terperinci mengenai impak ekonomi dan pulangan kepada negara sedang dikemukakan kepada MOF bagi penilaian lanjut.
“Saya telah berjumpa dengan Dorna dan menyatakan hasrat kerajaan untuk memperbaharui kontrak. Namun, MOF memerlukan data bagi memastikan perbelanjaan ini memberi pulangan ekonomi yang berbaloi. Penganjuran MotoGP sebelum ini telah mewujudkan lebih 4,000 peluang pekerjaan,” katanya selepas meninjau projek menaik taraf Kompleks Sukan Raja Muda di Kampung Baru, di sini.
Hannah turut memaklumkan jualan tiket tahun ini melebihi 90 peratus, dengan peningkatan ketara dalam pembelian tiket oleh pelancong asing, menunjukkan daya tarikan kukuh acara itu di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif berkata rundingan bersama Dorna Sports kini di peringkat akhir dan keputusan tempoh kontrak baharu akan diumumkan selepas mendapat kelulusan rasmi kerajaan.
MotoGP Malaysia 2025 yang berakhir Ahad lalu, mencatat kehadiran lebih 190,000 penonton sepanjang tiga hari penganjuran di SIC, sekali gus menyerlahkan statusnya sebagai antara acara sukan antarabangsa terbesar di Malaysia.