MADRID, 29 Oktober - Penyerang Brazil, Vinicius Junior, memohon maaf secara terbuka kepada Real Madrid selepas tindakannya yang marah ketika digantikan dalam kemenangan tegang 2-1 menentang Barcelona, hujung minggu lalu.
Insiden itu berlaku apabila Vinicius menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap jurulatih, Xabi Alonso sebelum berjalan terus ke terowong selepas digantikan oleh Rodrygo pada minit ke-72 perlawanan.
“Saya memohon maaf kepada semua penyokong Madrid atas reaksi saya ketika ditukarkan dalam El Clasico. Seperti yang telah saya lakukan secara peribadi dalam sesi latihan hari ini, saya juga ingin memohon maaf kepada rakan sepasukan, kelab dan presiden,” kata pemain berusia 25 tahun itu menerusi platform X.
Vinicius menjelaskan emosinya berpunca daripada semangat untuk membantu pasukan.
“Kadang-kadang semangat untuk menang menguasai diri saya. Saya berjanji akan terus berjuang setiap saat demi kebaikan Real Madrid,” tambahnya.
Pemain itu kemudiannya kembali ke tepi padang untuk menyaksikan baki perlawanan dan turut terlibat dalam pertikaman lidah dengan bintang Barcelona, Lamine Yamal.
Jurulatih Alonso selepas perlawanan berkata isu tersebut akan diselesaikan secara dalaman di bilik persalinan. - AFP