fb fb fb fb fb

Malaysia bidik tiga emas Piala Dunia Memanah Tradisional

Skuad negara di KLIA2 sebelum berlepas ke Ulsan /Foto RTM

SEPANG, 29 Oktober - Kontinjen memanah tradisional negara berlepas ke Korea Selatan hari ini dengan misi memburu sekurang-kurangnya tiga pingat emas pada Piala Dunia Memanah Tradisional Korea Ulsan 2025, yang akan membuka tirai Jumaat ini hingga 4 November.

Kejohanan di Munsu International Archery Range dan Munsu Municipal Archery Dojo itu menghimpunkan lebih 650 pemanah dari 32 negara.

Malaysia antara kontinjen terbesar dengan penyertaan 49 atlet, tiga pegawai rasmi dan lapan pengiring.

Pengurus pasukan, Dr. Muhammad Akram Adnan berkata persediaan intensif selama tiga bulan telah dijalankan bagi menyesuaikan diri dengan teknik dan peraturan panahan tradisional antarabangsa.

“Kami telah melakukan latihan rapi untuk memahami teknik luar dan bersedia bersaing di pentas dunia,” katanya ketika ditemui di KLIA Terminal 2 sebelum berlepas.

Kapten pasukan, Mohd Zahrul Shafiq Zahar menetapkan sasaran tiga pingat emas, selain mahu menjadikan kejohanan itu sebagai platform memperkenalkan budaya dan warisan panahan tradisional Malaysia.

“Selain mengejar pingat, kami mahu mempromosikan seni panahan tradisional yang menjadi sebahagian daripada identiti dan sunnah kita,” jelasnya.

Piala Dunia Memanah Tradisional Ulsan 2025 bukan sekadar medan persaingan, tetapi juga pentas mempamerkan keunikan teknik dan busur tradisional pelbagai budaya, sekali gus mengangkat imej panahan warisan Malaysia ke peringkat global.

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN