KUALA LUMPUR, 30 Oktober - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan keselamatan atlet negara menjadi keutamaan, susulan peningkatan kes ugutan dan penghinaan terhadap pemain di media sosial.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata pihaknya memandang serius isu berkenaan dan menasihatkan mana-mana atlet yang menerima mesej berunsur ancaman supaya segera membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan.
“Atlet tidak boleh lari daripada kritikan dalam talian, tetapi apabila wujud ugutan yang melibatkan keselamatan diri atau nyawa, laporan polis perlu dibuat supaya siasatan dapat dijalankan oleh pihak berkuasa dan MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau kerja naik taraf Kompleks Sukan Raja Muda, Kampung Baru, yang bakal dijadikan Akademi Sepak Takraw Malaysia.
Hannah turut menasihatkan atlet supaya menjaga kesejahteraan mental dengan tidak terlalu terpengaruh terhadap komen negatif selepas perlawanan.
Sebelum ini, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengecam tindakan segelintir individu yang menghantar mesej berunsur ugutan kepada pemain badminton negara dan menggesa peminat agar lebih beretika dalam memberi pandangan terhadap atlet.