MALAGA, 19 November - Pemegang rekod Grand Slam 22 kali, Rafael Nadal akan membuat penampilan terakhirnya dalam kejohanan tenis profesional pada saingan Piala Davis di Sepanyol.
Menurutnya, dia tidak bimbang dengan fasa seterusnya selepas persaraan.
Nadal pada Isnin memberitahu, tumpuannya ketika ini adalah membantu pasukan Sepanyol merangkul trofi pada Pusingan Akhir Piala Davis di sini, bukannya terhadap pengakhiran kerjayanya.
Dia merupakan pilihan mengejut dalam kejohanan berkenaan yang menampilkan lapan negara.
Terdahulu, Nadal, 38 tahun menyatakan dia bakal mengundurkan diri tahun ini berikutan kecederaan pinggul yang memerlukan pembedahan.
Kali terakhir dia beraksi pada Sukan Olimpik Paris 2024, Julai lalu dan kemudiannya terlepas kejuaraan Terbuka Amerika Syarikat dan Piala Laver susulan isu kecergasan.
Pada aksi pembukaan Piala Davis, dia bakal beraksi bersama rakan senegara Carloz Alcaraz, mengulangi semula gandingan sama ketika membuat persembahan di Paris yang berakhir di peringkat suku akhir.
Pusingan akhir kejuaraan berlangsung hari ini sehingga 24 November ini.