KUALA LUMPUR, 19 November- Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah membuat keputusan mengenai kes tatatertib membabitkan insiden yang berlaku ketika perlawanan Liga Super 2024-2025, Perak FC lwn Johor Darul Ta'zim di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 10 November lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu menerusi kenyataan memaklumkan pemain Johor Darul Ta'zim, Arif Aiman Mohd Hanapi dikenakan hukuman penggantungan tiga perlawanan.
Beliau berkata hukuman yang dikenakan kepada Arif Aiman membabitkan perlawanan pertama dan kedua Pusingan 16 Unifi Piala Malaysia 2024-2025 menentang Kuala Lumpur Rovers FC pada 20 dan 30 November 2024 serta perlawanan Liga Super 2024-2025 menentang Kuala Lumpur City FC pada 8 Disember 2024.
"Kesalahan melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM iaitu kelakuan yang menyinggung dan fair play, akibat daripada tindakannya menumbuk di bahagian muka sebelah kiri pemain Perak FC, Tommy Mawat Bada pada perlawanan tersebut.
"Pemain ini juga adalah diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini boleh dirayu", katanya dalam kenyataan.
Selain itu, pemain Perak FC, Tommy Mawat Bada juga dikenakan hukuman penggantungan tiga perlawanan.
Ia melibatkan perlawanan pertama dan kedua Pusingan 16 Unifi Piala Malaysia 2024-2025 menentang Kelantan Darul Naim FC pada 22 dan 30 November 2024 serta perlawanan Liga Super 2024-2025 menentang Kedah Darul Aman FC pada 4 Disember 2024.
"Kesalahan, melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM iaitu kelakuan yang menyinggung dan fair play, akibat daripada tindakannya menanduk kepala dan seterusnya mencengkam leher sebelah kiri pemain Johor Darul Ta’zim, Arif Aiman Mohd Hanapi pada perlawanan tersebut.
"Pemain ini juga adalah diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini boleh dirayu", katanya.
Bagaimanapun, katanya tarikh-tarikh yang dinyatakan adalah tertakluk kepada sebarang pindaan jadual perlawanan.