BILBAO, 22 Mei - Pengurus Manchester United, Ruben Amorim, menyatakan kesediaannya untuk berundur tanpa menuntut sebarang pampasan sekiranya kelab atau penyokong tidak lagi menginginkannya.
Ini susulan kekalahan 0-1 kepada Tottenham Hotspur dalam perlawanan akhir Liga Europa.
Gol tunggal perlawanan yang dijaringkan Brennan Johnson sebelum rehat telah memadamkan harapan United untuk menamatkan musim dengan trofi, sekali gus melengkapkan kempen yang dianggap antara paling buruk dalam sejarah kelab itu.
United kini berada di tangga ke-16 Liga Perdana Inggeris dengan satu perlawanan baki menentang Aston Villa, dan bakal mengakhiri musim di kedudukan terendah sejak penyingkiran mereka pada tahun 1974.
Amorim, yang menggantikan Erik ten Hag pada November lalu, hanya mencatat enam kemenangan liga setakat ini.
Walaupun prestasi hambar, beliau menegaskan masih yakin dengan pendekatannya.
“Jika lembaga dan penyokong rasa saya bukan orang yang sesuai, saya akan pergi keesokan harinya tanpa bincang soal pampasan,” kata Amorim kepada media selepas perlawanan.
Beliau bagaimanapun menolak untuk berbicara panjang mengenai masa depan kelab, sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada proses menghadam kekalahan tersebut.
“Kami main lebih baik, tapi gagal menjaringkan gol. Itu menyukarkan kami untuk menang,” tambahnya. - AFP