BILBAO, 22 Mei – Brennan Johnson menjadi wira Tottenham Hotspur selepas menjaringkan gol tunggal ketika menang 1-0 ke atas Manchester United dalam perlawanan akhir Liga Europa di San Mames, awal pagi tadi.
Jaringan tersebut berpunca daripada hantaran Pape Matar Sarr yang berjaya disempurnakan Johnson pada minit ke-42 dan gagal diselamatkan penjaga gol United, Andre Onana.
United hampir menyamakan kedudukan apabila penjaga gol Tottenham, Guglielmo Vicario, gagal menangkap kemas bola hasil sepakan percuma.
Namun tandukan Rasmus Hojlund, diselamatkan oleh Micky van de Ven.Pada perlawanan itu,
Manchester United dilihat melakukan beberapa gerakan berbahaya namun gagal untuk menembusi gawang Spurs.
Kejayaan itu menamatkan kemarau trofi selama 17 tahun buat Spurs, yang kali terakhir merangkul kejuaraan pada Piala Liga 2008 , dan kejuaraan Eropah terakhir mereka pada 1984.
Kemenangan tersebut turut menjamin tempat Spurs dalam Liga Juara Eropah musim depan.
Sementara itu, meskipun memenangi kejuaraan Liga Europa, masa depan pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou masih samar susulan kempen domestik yang buruk menyaksikan kelab berkenaan kini menghuni tangga ke-17, satu tangga di bawah Manchester United.
Dalam pada itu, Pengurus Manchester United, Ruben Amorim menyifatkan memenangi trofi Liga Europa bukan penyelesaian kepada masalah besar United, tetapi boleh menjadi asas untuk masa depan.
Namun, mereka meninggalkan Bilbao dengan tangan kosong.
“Kami gagal menjaringkan gol lagi, dan itu menyukarkan untuk menang,” kata Amorim.
Untuk kali kedua dalam tempoh 35 tahun, United tidak akan beraksi dalam kejohanan Eropah musim depan.-AFP