fb fb fb fb fb

Malaysia Masters 2025: Tze Yong cedera, Aaron-Wooi Yik mara bergaya

Foto BAM

KUALA LUMPUR, 21 Mei - Hasrat perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, untuk melangkah jauh dalam Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2025 tidak kesampaian apabila terpaksa menarik diri akibat kecederaan lutut kanan sewaktu menentang Ng Ka Long dari Hong Kong di pusingan pertama hari ini.

Tze Yong yang memenangi set pertama 22-20 dan mendahului 4-3 di set kedua tergelincir ketika melakukan satu pergerakan di Axiata Arena, Bukit Jalil. Beliau terus mendapatkan rawatan dan menarik diri daripada perlawanan.

Menurut Pengarah Kejurulatihan Perseorangan BAM, Kenneth Jonassen, insiden itu merupakan kehilangan besar buat skuad negara memandangkan Tze Yong baru sahaja kembali beraksi secara kompetitif sejak April lalu selepas pulih daripada dua pembedahan belakang.

“Kita harap tiada kecederaan serius. Ujian awal menunjukkan sesuatu memang berlaku, tapi kita tunggu imbasan esok untuk maklumat lanjut,” katanya.

Sementara itu, beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, tidak berdepan masalah apabila menewaskan gandingan Taiwan, Wang Chi Lin-Chiu Hsiang Chieh 21-18, 21-16 dalam masa 39 minit. Pasangan No. 3 dunia itu bakal berdepan satu lagi cabaran dari Taiwan, Liu Kuang Heng-Yang Po Han di pusingan kedua esok.

Malaysia Masters 2025 menjadi pentas penting buat Aaron-Wooi Yik untuk mengumpul mata menjelang Kejohanan Dunia dan Siri Super yang akan datang.

MOHD ZAMBRI BIN SUHARANI