GENEVA, 22 Mei - Novak Djokovic mencatat kemenangan pertama di gelanggang tanah liat musim ini selepas menewaskan Marton Fucsovics dengan straight set pada aksi pusingan kedua kejohanan Terbuka Geneva, semalam.
Juara Grand Slam 24 kali itu, jelas mendominasi perlawanan apabila mudah menundukkan pemain dari Hungary itu 6-2, 6-3 untuk melangkah ke peringkat suku akhir untuk bertemu pemain muda Itali, Matteo Arnaldi.
Djokovic memilih untuk beraksi di Switzerland bagi mendapatkan minit permainan tambahan menjelang saingan Terbuka Perancis hujung minggu ini.
Ini juga merupakan penampilan sulung Djokovic sejak mengumumkan tidak lagi menggunakan khidmat jurulatih yang juga bekas pesaingnya, Andy Murray minggu lalu.
Sementara itu, pemain pilihan utama kejohanan dari Amerika Syarikat, Taylor Fritz turut mengesahkan slot ke suku akhir selepas menewaskan wakil Perancis, Quentin Halys juga dengan straight set 6-4, 7-6. - AFP