ORLANDO, 11 Ogos – Luis Muriel meledak dua gol dan mencipta satu bantuan jaringan, manakala Martin Ojeda turut menyumbang dua bantuan gol serta satu jaringan ketika Orlando City membelasah Inter Miami 4-1 dalam aksi MLS, awal pagi tadi.
Kemenangan itu membolehkan Orlando City memintas Inter Miami di kedudukan liga Konferensi Timur.
Orlando mengekalkan rekod tanpa kalah di laman sendiri menentang Miami dalam lapan perlawanan dan kini naik ke tangga keempat, manakala Miami jatuh ke tangga keenam selepas tewas dua daripada empat aksi liga terakhir mereka.
Inter Miami sekali lagi beraksi Lionel Messi yang masih direhatkan akibat kecederaan hamstring.
Manakala penjaga gol Oscar Ustari kembali selepas lima perlawanan diketepikan terpaksa berdepan 22 percubaan lawan, dengan lapan daripadanya berjaya diselamatkan.
Muriel membuka tirai jaringan seawal minit kedua selepas menerima hantaran cantik Ojeda, namun tiga minit kemudian Yannick Bright menyamakan kedudukan buat Inter Miami.
Babak kedua menyaksikan Orlando menguasai permainan dengan menambah tiga gol lagi.
Muriel menambah gol kedua pada minit ke-50 hasil gerakan sepakan sudut pendek oleh Ojeda sebelum penyerang itu memperdaya Jordi Alba dan menewaskan Ustari.
Lapan minit kemudian, Ojeda pula menjaringkan gol ketiga Orlando selepas mendapat hantaran jauh Muriel sebelum melepaskan rembatan leret yang kencang. Marco Pasalic melengkapkan kemenangan bergaya dengan gol minit ke-88. - REUTERS