LANGKAWI, 13 Julai – Pelumba muda berbakat dari Perlis, Muhammad Hakimi Edy Sunarko Abdul Basir, dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi Kejohanan Junior Cycling Malaysia (JCM) Siri 3/2025 yang berlangsung selama tiga hari di Langkawi dan berakhir semalam.
Selain meraih gelaran juara keseluruhan, Muhammad Hakimi turut mempamerkan kayuhan bertenaga apabila dinobatkan sebagai raja pecut, sekali gus menyarung jersi hijau.
Kemenangan berganda itu disempurnakan menerusi aksi cemerlang beliau dalam peringkat ketiga acara criterium sejauh 31.8 kilometer, apabila menamatkan perlumbaan di tempat pertama dengan catatan masa 47 minit 12 saat.
Tempat kedua diraih pelumba Pelapis MSN, Lai Xuan Er, hanya dibezakan dua saat, dengan catatan masa 47 minit 14 saat.
"Pada hari pertama, Alhamdulillah saya dapat tempat pertama pada stage pertama. Tapi pada peringkat kedua saya alami kekejangan kaki, menyebabkan masa saya agak ke belakang, beza 13 saat dengan pelumba nombor satu.
"Jadi untuk peringkat ketiga ini, saya usaha sehabis boleh untuk dapatkan tempat pertama. Alhamdulillah, saya hanya beza satu saat dengan pelumba tempat kedua," katanya.
Sementara itu, bagi acara berpasukan, pasukan Perak muncul juara, diikuti Pelapis MSN sebagai naib juara dan Selangor di tempat ketiga.
Kejohanan edisi ketiga JCM 2025 ini melibatkan 85 peserta daripada 15 pasukan, berentap dalam tiga peringkat perlumbaan meliputi jarak keseluruhan 162 kilometer.
Sebagai info, JCM mula dianjurkan pada tahun 2016, dan bagi tahun ini, sebanyak lapan siri kejohanan dijadualkan berlangsung di seluruh negara.