NEW YORK, 13 Julai - Menjelang perlawanan akhir Piala Dunia Kelab, Presiden FIFA Gianni Infantino memuji kejayaan kejohanan itu dan berkata FIFA telah belajar daripada kritikan yang dilemparkan pada acara itu termasuk isu cuaca panas melampau dan stadium hanya separuh penuh untuk beberapa perlawanan.
Infantino berkata dia lebih suka kedatangan lebih ramai peminat di stadium yang besar walaupun tidak penuh selain mencadangkan stadium berbumbung diutamakan untuk perlawanan siang hari semasa Piala Dunia tahun depan dihoskan di Amerika Syarikat bersama Kanada dan Mexico.
"Sudah tentu, setiap kritikan yang kami terima adalah sumber untuk kami kaji, menganalisis untuk melihat apa yang boleh kami lakukan dengan lebih baik,
“Saya lebih suka meletakkan, 35,000 orang dalam stadium berkapasiti 80,000 tempat duduk daripada 20,000 dalam stadium yang boleh memuatkan 20,000 tempat duduk,
"Panas sememangnya satu isu. Ia adalah isu di seluruh dunia... Kami juga mempunyai stadium yang berbumbung. Jadi, kami pasti akan menggunakan stadium itu," kata Infantino di Trump Tower, New York pada Sabtu.
Infantino turut memberitahu Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dijangka menghadiri perlawanan akhir pada Ahad (13 Julai) dan mempertahankan hubungan rapatnya dengan pentadbiran semasa, berkata ia adalah asas untuk menganjurkan acara mega itu.
"(Trump) menyambut baik kepentingan Piala Dunia Kelab FIFA. Dan kemudian, sudah tentu, Piala Dunia tahun depan.
"Anda tidak boleh memikirkan untuk menganjurkan acara seperti ini, seperti Piala Dunia Kelab... tanpa penglibatan penuh dan sokongan kerajaan," katanya.
Paris St Germain akan menentang Chelsea pada perlawanan akhir di Stadium MetLife di New Jersey pada Ahad.- REUTARS