fb fb fb fb fb

MSN Kelantan rasmi ambil alih pengurusan Sukan PARA

Zamakhshari Muhamad.-Foto Bernama

KOTA BHARU, 6 Disember - Majlis Sukan Negeri (MSN), Kelantan,secara rasmi mengurus Sukan Para Kelantan bagi pembangunan atlet para yang lebih tersusun dan profesional.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, langkah itu penting bagi memastikan pembangunan atlet para digerakkan melalui struktur pentadbiran yang jelas, latihan lebih sistematik dan sokongan teknikal lebih fokus.

"Kami mahu sukan para Kelantan dapat dibangunkan seperti di negeri lain," katanya ketika dihubungi Bernama.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya juga akan meneliti pelaksanaan inisiatif jabatan angkat bagi setiap sukan di bawah MSN Kelantan.

Zamakhshari berkata, kaedah itu bagi membolehkan setiap bahagian memantau prestasi serta kemajuan sukan tertentu secara lebih dekat, termasuk aspek latihan, penyertaan pertandingan dan pembangunan bakat baharu.

"Kerajaan juga akan memperhalusi garis panduan insentif pengecualian cukai bagi sumbangan kepada Tabung Sukan Negeri Kelantan.

"Langkah ini sekali gus membantu menambah kapasiti dana pembangunan sukan di negeri ini yang memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak selain daripada kerajaan negeri," katanya.

ASHRIQ FAHMY AHMAD