fb fb fb fb fb

MotoGP Malaysia : Bagnaia sambar petak utama

FOTO AFP

SEPANG, 2 November- Francesco Bagnaia memecahkan rekod sepusingan baharu di Litar Antarabangsa Sepang sekali gus akan memulakan aksi MotoGP Malaysia, dari petak utama esok mengatasi pesaing utamanya, Jorge Martin selepas mendominasi sesi kelayakan hari ini.

Martin dari Sepanyol kini mendahului juara bertahan dari Itali, Bagnaia, dengan kelebihan 17 mata dalam perebutan gelaran,  berbaki hanya satu lagi perlumbaa selepas Sepang.

Pelumba Pramac Ducati itu secara matematiknya boleh menamatkan kejuaraan dunia pertamanya hujung minggu ini, menerusi perlumbaan pecut pada Sabtu dan acara utama pada Ahad.

Bagnaia daripada pasukan Ducati mendominasi sesi latihan semalam. Hari ini, dalam keadaan cuaca panas dan berawan, dia mencatat masa terpantas 1 minit 56.337 saat dalam sesi kelayakan yang dramatik.

Martin berada di tempat kedua, 0.216 saat di belakang.

Martin sebelum itu memecahkan rekod litar untuk menjadi yang terpantas dalam sesi kelayakan, tetapi Bagnaia kembali dengan lebih baik dan mengatasi catatan tersebut.

Turut meraih grid hadapan ialah Alex Marquez, yang berada di tempat ketiga terpantas, tetapi hampir satu saat di belakang masa Bagnaia.

Juara dunia enam kali, Marc Marquez, berada di tempat kelima.

Persaingan merebut gelaran bakal menyaksikan saingan antara Martin dan Bagnaia.

Bagnaia memenangi grand prix di Buriram, Thailand minggu lepas, di hadapan Martin, untuk mengurangkan jurang mata dan memastikan kejuaraan masih terbuka.

Perlumbaan penutup musim yang dijadualkan diadakan di Valencia dalam tempoh dua minggu akan datang dibatalkan susulan banjir teruk di bahagian Sepanyol dan penganjur kini mencari lokasi pengganti.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE