SEPANG, 2 November- Dua pelumba negara, Khairul Idham Pawi (KIP) dan Muhammad Helmi Azman akur berdepan insiden malang, selepas terbabit pelanggaran dalam sesi kelayakan Moto2, hari ini.
Aksi yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) itu menyaksikan Khairul Idham terpaksa melupakan hasrat untuk meneruskan saingan pada esok akibat kecederaan kaki dan patah tangan kiri.
Bagaimanapun, menurut Pengurus Pasukan PETRONAS MIE Racing RW, Razmin Masli Abdul Razak, Muhammad Helmi tidak mengalami kecederaan serius dan masih boleh meneruskan perlumbaan.
Tambahnya, tiada pelumba gantian yang akan mengisi kekosongan tempat yang ditinggalkan.
"Selepas menjalani pemeriksaan di pusat kesihatan tadi, Khairul Idham alami patah tangan dan kecederaan kaki belum dapat laporan penuh. Masih perlu jalani pemeriksaan lanjut. Sekarang ini, kita cuba buat yang terbaik untuk Khairul Idham lah.
Selain itu, kita juga akan memberi Helmi yang terbaik. Helmi menunjukkan peningkatan lagi dalam sesi kelayakan tadi. Insya-Allah akan ada banyak peningkatan daripada segi jentera dilakukan," kata Razmin kepada pemberita, hari ini.
Kedua-dua pelumba Petronas MIE Racing RW itu telah di bawa ke pusat perubatan litar bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut.
Untuk perlumbaan hari ini, Helmi akan memulakan perlumbaan di petak ke-29 dengan catatan masa sepusingan 2 minit 07.554 saat (s) manakala KIP di tangga ke-30 menerusi lakaran masa 2:07.570s.