fb fb fb fb fb

Momota umum bersara pada usia 29 tahun

Pemain badminton Jepun, Kento Momota menghadiri sidang media mengumumkan persaraannya daripada pasukan kebangsaan Jepun di Tokyo hari ini/AFP

TOKYO, 18 April- Bekas pemain nombor satu dunia, Kento Momota hari ini mengumumkan bersara daripada sukan badminton sambil mengakui dia tidak pernah sama sejak terlibat kemalangan jalan raya di Malaysia, empat tahun lalu.

Momota, 29, melakar rekod merangkul 11 gelaran pada 2019 dan hanya tewas enam daripada 73 perlawanan pada tahun itu.

"Terdapat banyak masa sukar selepas kemalangan jalan raya itu.

"Saya cuba untuk kembali ke cara bermain saya yang dahulu, tetapi masih tidak sama.

"Hal itu berlanjutan dan saya sedar saya tidak akan kembali ke tahap yang saya boleh bersaing dengan pemain terbaik dunia lain," ujar juara dunia dua kali itu pada satu sidang media di sini.

Namun, beliau tidak kesal dengan keputusan bersara dan menyatakan komitimen mahu terus mempromosikan sukan badminton di Jepun.

Dalam sidang media sama, Momota turut berterima kasih kepada semua pihak yang hadir membantunya melalui masa-masa sukar.

“Terdapat banyak kesusahan dan ia membebankan saya, tetapi saya tidak mahu menyalahkan semua itu atas kemalangan tersebut. Saya mahu bangkit bersama-sama sokongan orang di sekeliling saya," tambahnya.

Pada Januari 2020, sebuah van yang membawa Momota dan tiga penumpang lain telah terlibat kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Dalam nahas itu, pemandu van maut, manakala William Thomas dari England serta tiga pemain badminton dunia dari Jepun iaitu Momota, Yu Hirayam dan Morimoto Arkifumi mengalami kecederaan.

Momota hadir di Malaysia bagi menyertai Masters Malaysia dan menjuarai kejohanan itu selepas menewaskan Viktor Axelsen dari Denmark.

Bintang Jepun itu dibenarkan keluar dari Hospital Putrajaya dua hari kemudian, namun terpaksa menjalani pembedahan mata kerana mengalami masalah penglihatan selepas pulang ke negaranya.

SITI AISHAH MD ISA