KAJANG, 4 Jun - Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) meminta pemain apit kanan negara, Mohamad Azlan Alias mengemukakan sebab, susulan pemain itu turun beraksi di Liga Sepak Takraw (STL) 2025, bersama pasukan Melaka Titans minggu lalu.
Sebelum ini Azlan disarankan berehat selama dua bulan berikutan kecederaan dialaminya ketika kejohanan Piala Asia 2025 bulan lalu.
Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, tempoh tujuh hari bermula semalam diberikan kepada pemain terbabit bagi memberi maklum balas berhubung perkara berkenaan.

"Semua orang anggap dia cedera dan sedang dirawat. Tidak kisahlah sama ada akhirnya MRI mendapati dia alami retak atau tidak tetapi dia disahkan cedera.
"Laporan (keretakan) bukan datang dari PSM tetapi dari doktor dan ISN (Institut Sukan Negara), jadi kena hormat (laporan) itu sebab dia diperlukan untuk kejuaraan lebih besar, untuk negara dalam saingan Piala Raja Thai dan Sukan SEA," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Program Komuniti STL (Liga Sepak Takraw) 2025 di gelanggang sepak takraw Taman Mesra, di sini hari ini.
Tegasnya, Mohamad Azlan adalah pemain kebangsaan dan jika dia masih belum cergas, namun tetap bermain semula, sekiranya mengalami kecederaan pada masa itu hingga mungkin perlu berehat lebih panjang, pastinya akan beri kesan buruk kepada skuad negara.
Beliau berkata, perkara itu juga akan dibawa dalam mesyuarat yang antara lain turut membincangkan tindakan susulan.
Sementara itu, program hari ini menyaksikan pemain STL, personaliti televisyen serta penduduk setempat berganding bahu melakukan gotong-royong termasuk mengecat semula dan membaik pulih gelanggang sepak takraw milik Persatuan Penduduk Taman Mesra.
Gelanggang sepak takraw itu dipilih kerana mempunyai nilai sejarah tersendiri dan telah menjadi pusat riadah serta latihan komuniti termasuk melahirkan ramai pemain berbakat dalam sukan takraw sejak lebih 50 tahun lalu.