KUALA LUMPUR, 20 Mei - Pemain apit kanan negara Mohamad Azlan Alias disahkan mengalami keretakan tulang di siku kiri susulan insiden ketika aksi final acara regu berpasukan kejohanan sepak takraw Piala Asia 2025 di Stadium Titiwangsa di sini, Ahad lepas.
Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) mengesahkan perkara berkenaan dan memaklumkan Mohamad Azlan dijangka berehat selama dua bulan bagi menjalani proses pemulihan.
“Killer utama negara, Azlan Alias disahkan mengalami keretakan tulang di siku oleh doktor selepas menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh pagi ini. Azlan dijangka berehat selama dua bulan,” menurut PSM dalam kenyataan hari ini.
Pada perlawanan akhir acara regu berpasukan, skuad negara tewas 0-2 kepada musuh tradisi yang juga gergasi sepak takraw dunia, Thailand.
Meskipun mengalami kecederaan ketika melakukan pendaratan di set pertama, Mohamad Azlan tetap meneruskan aksi demi menggalas tanggungjawab bersama pasukan negara hingga perlawanan tamat.
Mohamad Azlan yang beraksi dalam kesakitan bersama Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong) dan Amirul Zazwan Azmi (apit kiri) itu tewas 11-15 pada set pertama sebelum bangkit menguasai set kedua 15-12 namun kecundang 15-17 dalam pertarungan mendebarkan.
Regu kedua negara dibarisi Farhan Adam, Muhammad Haziq Hairul Nizam dan Muhammad Noraizat Mohd Nordin yang diletakkan harapan untuk menghidupkan peluang Malaysia pada perlawanan akhir juga gagal menyekat penguasaan Thailand, apabila tewas 15-13, 13-15, 4-15.- BERNAMA