fb fb fb fb fb

MLS : Rooney letak jawatan, tinggalkan DC United

(FOTO www.dcunited.com)

WASHINGTON, 8 Oktober - Bekas bintang England dan Manchester United, Wayne Rooney dilaporkan meletakkan jawatan sebagai Ketua jurulatih DC United selepas kelab berkenaan gagal layak ke 'playoff', kata kelab DC United dalam satu kenyataan.

Menerusi kenyataan itu juga, keputusan untuk 'berpisah' dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

"Kami telah berbincang dengan Rooney dan kami bersetuju dengan keputusan berkenaan.

"Keputusan ini memberi peluang kepada Pengurus Besar kelab memperbaiki dan mengenal pasti falsafah dan struktur kelab bermula dengan mengenal pasti calon ketua jurulatih baharu yang sesuai", kata Ketua Pengarah Operasi (CEO) dan pemilik bersama DC United, Jason Levien.

Menurut Levien,kelab tersebut menghargai dan berterima kasih dengan segala sumbangan yang telah diberikan Rooney sebagai pemain dan juga Ketua jurulatih kelab berkenaan.

Sementara itu, Rooney memberitahu wartawan, ini merupakan masa terbaik untuknya meninggalkan kelab itu.

"Ini merupakan masa yang terbaik. Saya telah melakukan segala yang terbaik bagi memastikan DC United layak ke 'Playoff'.

"DC United hanya tidak bernasib baik. Ini adalah berkaitan dengan 'masa'", katanya selepas perlawanan terakhir liga yang menyaksikan DC United menewaskan New York City FC 2-0.

Bekas bintang Manchester United itu turut berkata, dia tidak mempunyai sebarang perancangan selepas ini dan mendedahkan dia berhasrat untuk pulang ke England.

Bulan lalu, Rooney mendedahkan kekecewaannya berikutan keengganan DC United berbincang lanjut berkaitan kontraknya sebagai Ketua jurulatih.

Untuk rekod, sebelum ini, Rooney pernah menjadi Pengurus kelab Derby County sebelum menyertai DC United pada 2019.

Rooney berjaya membantu kelab berkenaan menduduki kelompok pertengahan Liga Konferensi Timur pada musim lalu.-AFP

(Bekas Ketua jurulatih DC United, Wayne Rooney/FOTO AFP)

Media Baharu