PARIS, 6 Ogos- Persiapan untuk misi memburu pingat emas badminton di Olimpik Los Angeles 2028 perlu bermula sekarang.
Pengarah kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky berkata, perkara itu bagi memastikan Malaysia mempunyai barisan pemain yang benar-benar bersedia dari segi mental dan fizikal.
Ketika ini Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sudah memiliki kelompok pemain yang boleh diketengahkan namun persediaan perlu dilakukan awal.
"..untuk ke depan ini kita harus bermula dari sekarang. Jangan kita berbicara nanti 2027 baru kita berbicara apa yang kita nak capai. Tetapi ia perlu bermula dari sekarang.
"Belajar daripada apa yang kita buat sekarang, yang teruk kita buang yang baik kita masukkan dan tambah untuk menjadikan lebih baik lagi. Saya lihat kita harus kukuh sebelum Olimpik Los Angeles 2028," katanya dalam sidang media di Porte de La Chappele Arena di sini.
Dalam pada itu mengambil contoh inisiatif yang dilakukan China, Malaysia juga boleh mengadakan simulasi persis olimpik buat atlet.
Ia dilihat bagi membiasakan pemain dengan tekanan beraksi di peringkat tertinggi
"Kita boleh tak buat itu? Kadang-kadang kita tak boleh, tetapi kita harus buat. Kalau kita mahu mencapai sesuatu yang besar, kita harus berani buat," katanya lagi.
Pada edisi kali ini, kem Badminton menghadiahkan Malaysia dua pingat gangsa menerusi beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan perseorangan lelaki, Lee Zii Jia.