fb fb fb fb fb

Minamino putus masa depan selepas aksi final di Liga Juara-Juara

(Minamino (kanan)/FOTO REUTERS)

LONDON, 25 Mei- Pemain antarabangsa Jepun, Takumi Minamino akan menunggu selepas pertembungan Liverpool dengan Real Madrid dalam final Liga Juara-Juara di Paris, Ahad ini sebelum mempertimbangkan masa depannya bersama kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Minamino dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan lain selepas menjaringkan 10 gol dalam 24 perlawanan di semua pertandingan musim ini untuk Liverpool yang gagal menambah kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas memenangi Piala Liga dan Piala FA.

"Saya mempunyai perlawanan bersama Jepun juga (pada Jun) dan tidak akan ada masa untuk berehat, tetapi saya akan memikirkan masa depan saya selepas final Liga Juara-Juara," kata Minamino yang dipetik Kyodo News.

"Buat masa ini, paling utama saya menumpukan perhatian kepada perlawanan."

(Pemain Liverpool, Takumi Minamino (kanan) giat berlatih bersama rakan sepasukan, Sadio Mane
di padang latihan skuad The Reds di Liverpool sebagai persiapan aksi final Liga Juara-Juara menentang Real Madrid di Paris, pada awal pagi Ahad ini/ FOTO AFP)


Minamino sudah bermain empat kali dalam Liga Juara-Juara setakat musim ini dan dia berharap untuk mencipta sejarah menentang pasukan Carlo Ancelotti pada hujung minggu ini.

"Tiada seorang pun dari Jepun yang pernah berdiri di padang dalam aksi final (Liga Juara-Juara), jadi saya mahu melakukannya," kata perancang tengah itu.

Jaringan Minamino musim ini adalah yang terbaik sejak berpindah ke England ketika dia berusaha untuk memecah masuk ke dalam kesebelasan utama Jurgen Klopp. -REUTERS

Media Baharu