KUALA TERENGGANU, 11 Februari- Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) mempertaruhkan pemain muda dari skuad pelapis dalam saingan Liga Hoki Malaysia, MHL 2023.
Ia sekali gus mempersiapkan pasukan itu untuk ke Sukan Malaysia (SUKMA) tahun depan.
Ketua Jurulatihnya, Mohd Shahrun Nabil Abdullah berkata pasukan turut diperkuatkan dengan beberapa bekas pemain negara yang berpengalaman besar pada musim ini.
Antaranya, Juliani Mohamad Din, Wan Norfaiezah Md Sauti, Fazilla Sylvester Silin, Surizan Awang Noh dan Mas Huzaiman Md Aziz.
Turut mencuri perhatian, pemain muda yang kian meningkat naik, Qasidah Najwa Muhammad Halimi yang menjulang emas acara hoki dalam dewan pada Sukan SEA Filipina 2019.
"Pasukan ini bukannya tak kuat, saya memang optimis kepada 'team' saya yang saya letak harapan yang tinggi. Kita pergi 'game by game', kita pergi berapa jauh yang boleh. Sasaran saya, awal-awal kita mesti layak ke separuh akhir dahulu. Jangan kita letak harapan terlampau tinggi sampai separuh akhir kita terlepas.Untuk saya tahun ini, saya harap pemain-pemain saya bersedia untuk memberi yang terbaik untuk kita beraksi di Liga TNB tahun ini," katanya.
(Ketua Jurulatih TLHT, Mohd Shahrun Nabil Abdullah)
Ini merupakan penampilan semula TLHT selepas dua musim tidak beraksi dalam saingan MHL.
Esok, TLHT akan bertemu pasukan Mutiara Impian di laman sendiri .