fb fb fb fb fb

MHC sasar skuad senior hoki negara ke separuh akhir Kejohanan Piala Negara-negara 2022

BUKIT JALIL, 22 November- Sasaran layak ke peringkat separuh akhir diletakkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) terhadap skuad senior lelaki negara dalam penampilan sulung di Kejohanan Piala Negara-negara 2022 yang membuka tirai hujung bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kebangsaan, Datuk Najmi Razak berkata, seramai 20 orang pemain disenaraikan ke kejohanan yang bakal berlangsung di Potchefstroom, Afrika Selatan itu.

Tambah beliau, daripada jumlah tersebut, Malaysia akan menampilkan empat pemain yang tidak beraksi pada Piala Sultan Azlan Shah 2022 iaitu Adrian Andy Albert, Syarman Mat Tee, Muhamad Ramadan Rosli dan Faizal Saari yang baru sahaja pulang daripada kelab hoki Belanda, ZSV Schaerweijde.

Menurut Datuk Najmi, The Speedy Tigers adalah pasukan yang mempunyai ranking tertinggi dalam kalangan lapan pasukan bertanding, iaitu di tangga ke-10 dunia.

"MHC ingin lihat pasukan ini layak ke separuh akhir dahulu, pertama sekali untuk menjuarai kumpulan.

Selepas itu perlawanan akan bertukar, separuh akhir dan akhir berbeza, temponya tidak sama," katanya dalam sidang media di sini.

(Datuk Najmi Razak)

Kejohanan itu bakal membuka tirai pada 28 November sehingga 4 Disember.

Malaysia diundi dalam kumpulan B bersama Kanada, Korea Selatan dan Jepun dengan dua pasukan teratas setiap kumpulan akan ke separuh akhir.

Media Baharu