fb fb fb fb fb

MFL lulus tambahan kuota tiga pemain tempatan

Foto hiasan/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 1 Ogos - Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan penambahan kuota tiga pemain tempatan bagi saingan Liga Malaysia musim 2025-2026, menjadikan setiap pasukan kini boleh mendaftarkan maksimum 33 pemain.

Keputusan itu dibuat oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL dalam satu mesyuarat khas baru-baru ini selepas mengambil kira permohonan daripada beberapa kelab, khususnya pasukan dari Liga AI Semi-Pro yang baharu dinaikkan ke Liga Super.

Menurut kenyataan MFL, langkah itu bertujuan memberi fleksibiliti kepada pasukan yang belum memiliki pasukan pembangunan susulan pengecualian kewajipan tersebut pada musim pertama serta pemansuhan Piala MFL bagi musim 2025-2026.

“Tambahan kuota tiga pemain tempatan ini dapat memberikan tambahan pilihan pemain kepada kelab yang tidak memiliki pasukan pembangunan,” kata MFL dalam kenyataan.

Bagaimanapun, penggunaan kuota tambahan itu tidak bersifat wajib, sebaliknya bergantung kepada keperluan dan kedudukan kewangan masing-masing, selaras pelaksanaan peraturan kewangan Financial Fair Play (FFP) dengan mekanisme gaji siling sebanyak 80 peratus.

“Ahli Lembaga Pengarah MFL turut memutuskan bahawa kelab-kelab tidak diwajibkan untuk memenuhi tambahan tiga kuota pemain tempatan ini sebaliknya ia bergantung kepada keperluan dan kemampuan kewangan kelab masing-masing,” jelas kenyataan itu lagi.

Dengan perubahan ini, komposisi baharu pemain yang dibenarkan adalah 18 pemain tempatan dan 15 pemain import.

MFL turut memaklumkan bahawa jendela perpindahan pertama akan ditutup pada 31 Ogos 2025, manakala jendela kedua dibuka dari 5 Januari hingga 1 Februari 2026.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD