KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Kem badminton negara terus mencipta impak positif di pentas antarabangsa apabila tiga wakil Malaysia melangkah ke separuh akhir Terbuka Macau 2025.
Dalam acara perseorangan lelaki, pemain muda negara, Justin Hoh mencipta sejarah apabila layak ke separuh akhir Siri Jelajah Dunia buat kali pertama.
Beliau menewaskan pemain Thailand dan pemenang gangsa Kejohanan Dunia 2019, Kantaphon Wangcharoen, dengan kemenangan straight set 21-9, 21-18 dalam aksi suku akhir hari ini.
Kejayaan itu turut menjadi penebus kekalahan Justin kepada Kantaphon dalam saingan Masters Korea tahun lalu.
Sementara itu, kejutan turut tercipta dalam acara beregu campuran apabila pasangan profesional baharu, Jimmy Wong-Lai Pei Jing, menundukkan pilihan kedua kejohanan dari China, Cheng Xing-Zhang Chi, 21-12, 17-21, 21-18 dalam perlawanan sengit yang berlangsung selama satu jam.
Pasangan negara itu mempamerkan kebangkitan luar biasa dalam set penentuan selepas ketinggalan 11-16, sebelum mengutip 10 daripada 12 mata terakhir untuk mengesahkan slot ke separuh akhir – pencapaian terbaik mereka sejak bergandingan awal tahun ini.
Satu lagi wakil negara dalam acara beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, yang merupakan pilihan utama kejohanan, turut mara ke separuh akhir selepas mengatasi pasangan Indonesia, Adnan Maulana-Indah Cahya Sari Jamil, 21-17, 22-20.
Gandingan ranking ketiga dunia itu hampir diheret ke set penentuan selepas kehilangan fokus di hujung set kedua, namun berjaya bangkit memastikan kemenangan dua set.
Mereka dijadual berdepan pasangan Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje, dalam perebutan tempat ke pentas akhir esok.