fb fb fb fb fb

Helio Sousa dilantik ketua jurulatih Kuwait

Bekas jurulatih Bahrain, Helio Sousa/Foto REUTERS

KUWAIT CITY, 1 Ogos – Helio Sousa telah dilantik sebagai ketua jurulatih baharu bagi skuad bola sepak lelaki kebangsaan Kuwait, menurut pengumuman rasmi Persatuan Bola Sepak Kuwait (KFA) pada Khamis.

Sousa, 55 tahun, menggantikan jurulatih Argentina Juan Antonio Pizzi, yang kontraknya berakhir awal tahun ini.

Media tempatan melaporkan Sousa menandatangani kontrak sehingga tahun 2027 dengan gaji tahunan sekitar USD1.6 juta.

Sousa dikenali sebagai jurulatih yang menekankan pembangunan pemain muda dan mencatat kejayaan besar bersama pasukan bawah-19 Portugal yang memenangi Kejuaraan UEFA B-19 pada 2018.

Beliau juga pernah membimbing Bahrain merangkul kejuaraan WAFF dan Piala Teluk pada tahun 2019.

Pizzi sebelum ini gagal membawa Kuwait layak ke pusingan kelayakan akhir Piala Dunia 2026.

Pasukan itu hanya mengutip lima mata dan menamatkan kempen kelayakan dalam keadaan mengecewakan, termasuk kekalahan besar 0-4 kepada Korea Selatan.

Pasukan kebangsaan Kuwait pernah layak ke Piala Dunia pada tahun 1982.

Dalam Piala Asia pula, kejayaan paling membanggakan adalah menjuarai edisi 1980.

Kuwait juga pernah menjulang Piala Teluk sebanyak 10 kali, menjadikannya pasukan paling berjaya dalam sejarah kejohanan itu.

Namun, sejak 2010, prestasi Kuwait terus merosot, gagal melepasi peringkat kumpulan dalam Piala Asia 2011 dan 2015.

Pasukan itu turut digantung daripada menyertai edisi 2019 selain gagal layak ke Piala Asia 2023. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD