KUALA LUMPUR, 17 Februari- Pemilihan Johor Bahru sebagai tuan rumah Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022 melegakan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Stuart Ramalingam menyambut baik pengumuman Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang dibuat semalam.
"Situasi itu akan melicinkan perjalanan kalendar pasukan Harimau Selatan termasuk tidak perlu mengubah jadual perlawanan saingan Liga Malaysia sekiranya JDT perlu beraksi di luar negara,
"Pemilihan Johor Bahru sebagai penganjur perlawanan berpusat bagi Kumpulan I bakal memberi kelebihan kepada pemain beraksi di laman sendiri dalam melengkapkan kesemua enam perlawanan kumpulan," katanya.
JDT selaku juara Liga Super lapan kali berturut-turut diundi bersama juara Liga Jepun Kawasaki Frontale, kelab Liga Super China, Guangzhou FC dan pemenang perlawanan 'play-off' antara Ulsan Hyundai (Korea Selatan) dan Port FC (Thailand).
Tahun ini adalah penampilan keempat skuad kendalian Benjamin Mora itu dalam saingan ACL selepas kali pertama berentap dalam kejohanan berprestij Asia itu pada 2019.
Musim lepas JDT menamatkan saingan di tempat ketiga kumpulan G, di belakang Nagoya Grampus dari Jepun dan naib juara Pohang Steelers dari Korea Selatan.