fb fb fb fb fb

Messi 'Terhebat' tiada tolok bandingnya

(FOTO AFP)

DOHA, 17 Disember- 37 trofi kelab, tujuh anugerah Ballon D'Or dan enam Kasut Emas Eropah.

Gelaran Copa America, pingat emas Olimpik dan senarai rekod serta statistik yang mungkin tidak dapat ditewaskan.

Sepanjang karier 18 tahun Lionel Messi masih unggul untuk mencipta kejayaan demi kejayaan.

Pada Ahad, kapten Argentina berusia 35 tahun itu berpeluang mengisi 'ruang kosong' terakhir dalam resumenya iaitu memenangi Piala Dunia.

Kemenangan ke atas Perancis di Stadium Lusail Doha dikatakan oleh peminat akan menyelesaikan perdebatan mengenai kedudukannya di tempat paling eksklusif dalam sukan bola sepak.

Pencapaian karier Messi setakat ini telah pun memberikannya hak untuk disebut dalam nafas yang sama seperti Pele, Diego Maradona, Alfredo Di Stefano dan Johan Cruyff.

Bekas kapten England, Alan Shearer berkata dia telah lama menganggap rakan senegara Messi, Maradona sebagai pemain terhebat sepanjang zaman berdasarkan kejayaannya di Piala Dunia 1986 di Mexico.

"Jika Messi memenanginya di sini (Qatar), pandangan saya akan berubah," kata Shearer kepada BBC.

Pandangan berlainan dilontarkan bekas penyerang Argentina Jorge Burruchaga, penjaring gol kemenangan dalam perlawanan akhir Piala Dunia 1986 dengan Jerman Barat.

Bagi Burruchaga, Messi telah menjadi pemain terhebat dalam era di mana hanya Cristiano Ronaldo boleh menyaingi pencapaiannya. Tetapi lelaki berusia 60 tahun itu berkata ia bagaimanapun tidak boleh dibandingakan dengan pemain generasi terdahulu.

“Menang atau kalah, Messi tidak lebih atau kurang daripada Maradona,” kata Burruchaga kepada AFP. “Messi akan berada dalam sejarah apa pun yang berlaku.

“Terdapat lima pemain dalam tempoh 70 tahun lalu yang boleh dianggap terbaik di dunia, Di Stefano, Johan Cruyff, Pele, Maradona dan Messi.

"Messi ada dalam senarai itu, sama ada dia memenangi Piala Dunia atau tidak. Tetapi saya harap dia menang."

Ketika perdebatan mengenai kedudukan Messi dalam sejarah bola sepak semakin hangat diperkatakan, tuan badan sendiri tetap fokus pada penampilan terakhirnya di pentas Piala Dunia.

Kempen Piala Dunia kelima Messi boleh dikatakan yang terbaik, berkembang maju sebagai tunjang serangan bagi kesebelasan utama Argentina yang seimbang seperti yang dirancang oleh Scaloni.

Dalam penampilan Piala Dunia sebelum ini, Messi kelihatan tertekan, bergelut untuk menggalas harapan dan impian jutaan warga Argentina yang terdesak untuk kegemilangan antarabangsa.

Sepanjang dekad yang lalu, ia seolah-olah ditakdirkan untuk gagal dalam usahanya untuk meraih gelaran utama bersama Argentina.

Kekalahan kepada Jerman dalam Piala Dunia 2014 memulakan rentetan tiga kekalahan terakhir utama berturut-turut.

Pada 2015, pasukan Argentina tewas pada perlawanan akhir Copa America kepada Chile dalam penentuan sepakan penalti. Setahun kemudian, Albiceleste ditewaskan sekali lagi oleh Chile dalam perlawanan akhir Copa America Centenario, menyasikan Messi gagal menyempurnakan sepakan penalti.

Kecewa, Messi mengumumkan persaraannya daripada bola sepak antarabangsa.

Dia kembali beberapa bulan kemudian dan mengetuai Argentina pada Piala Dunia 2018 di Rusia.

Tetapi kempen Argentina berakhir pada pusingan 16 terbaik dengan kekalahan 4-3 kepada Perancis.

Keadaan berubah dengan pelantikan Scaloni pada penghujung 2018.

Selepas menduduki tempat ketiga pada Copa America 2019, Argentina akhirnya menamatkan penantian mereka untuk meraih gelaran utama dengan kemenangan pada kejohanan 2021, menewaskan musuh ketat Brazil pada perlawanan akhir di Stadium Maracana di Rio de Janeiro.

Menurut Burruchaga, gelaran Copa America 2021 membebaskan beban yang dipikul kapten Argentina.

“Beratnya sudah terlepas dari bahunya sekarang, dan kami akan melihat seorang lagi Messi,” kata Burruchaga.

Dengan lima gol sudah dicipta di Qatar, Messi kini menjadi penjaring terbanyak bersama dengan Kylian Mbappe.

“Saya tidak tahu sama ada ia Piala Dunia terbaik saya atau tidak,” kata Messi selepas kemenangan ke atas Croatia.

"Saya sangat gembira kerana menamatkan perjalanan saya di Piala Dunia dalam perlawanan akhir, untuk bermain di perlawanan terakhir, untuk menamatkan dengan cara ini adalah cemerlang." -AFP


(FOTO AFP)

Media Baharu